PENGENALAN
Sekolah Kebangsaan Paloh adalah sebuah sekolah yang terletak berhampiran dengan bandar Kuala Terengganu. Jaraknya dari pusat bandar adalah lebih kurang enam kilometer dan berada antara jalan utama ke Manir dan berhampiran dengan Muzium Losong.
SEJARAH SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Paloh adalah salah sebuah daripada enam buah sekolah yang tertua di negeri Terengganu. Enam buah sekolah tersebut mengikut turutan penubuhannya ialah Sekolah Melayu Duyung, Sekolah Melayu Paya Bunga, Sekolah Melayu Ladang, Sekolah Melayu Bukit Jambul, Sekolah Melayu Paloh, dan Sekolah Melayu Chabang Tiga.
Sekolah Melayu Paloh mula dibuka dalam tahun 1927 dengan keramaian murid lebih dari seratus orang. Murid sekolah ini pada ketika itu hanyalah terdiri dari murid lelaki. Bilangan gurunya pula adalah seramai enam orang termasuklah Guru Besar, Encik Long bin Naim yang berasal dari Negeri Sembilan.
Pada peringkat permulaan, bangunan sekolah hanyalah terdiri dari bangunan kayu tanpa bilik. Bilik-bilik darjah cuma disekat dengan dinding skrin. Ukuran bangunan tersebut ialah 70' x 20' dan bertiang batu setinggi 2 1/2' untuk mengelakkan daripada banjir.
Tapak dan kawasan sekolah ini ialah tanah yang diambil alih oleh kerajaan daripada tuan tanah yang bernama Encik Long bin Ibrahim dari Kampung Losong Atap Zing, dengan nilai bayaran harga semasa. Orang yang memainkan peranan penting bagi menjayakan pengambilan balik tanah dan usaha mewujudkan sekolah tersebut ialah Encik Long Tonggak, Ketua Kampung Paloh (masa itu disebut penghulu).
Peningkatan murid dari setahun ke setahun makin bertambah kerana selepas tahun 1932, murid-murid perempuan mula diterima masuk ke Sekolah Melayu Paloh. Dalam tahun 1952, sebuah bangunan bangsal yang beratapkan nipah didirikan oleh penduduk kampung secara bergotong royong untuk menampung dua bilik darjah yang tidak mencukupi.
Dalam tahun 1960, sebuah bangunan yang terdiri daripada dua bilik darjah telah didirikan. Kemudian dalam tahun 1964, sekolah ini telah mendapat sebuah bangunan batu mengandungi lima bilik darjah termasuk bilik guru, sebuah bilik Guru Besar dan sebuah bilik pejabat. Bangunan ini dibuka dan dirasmikan oleh Menteri Pelajaran Malaysia, YB. Encik Mohd Khir bin Johari pada 28.09.1965. Guru Besar pada masa itu ialah Encik Wan Muhammad bin Wan Sulong. Beliau adalah Guru Besar yang ke sebelas semenjak sekolah ini dibuka.
Dalam tahun 1986, Jabatan Pndidikan Negeri Terengganu telah memberi peruntukan dua bilik darjah projek kilat bagi menampung kekurangan bilik darjah.
Kekurangan bilik darjah berlaku lagi, menyebabkan dalam tahun 1987 Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu telah menambah satu lagi bangunan kilat mengandungi 3 buah bilik darjah. Pihak sekolah telah mengubah satu daripada bilik darjah tersebut menjadi Pusat Sumber Sekolah.
Pada peringkat awal, rumah guru hanya sebuah 'Rumah Guru Besar'. Kemudian rumah itu dirobohkan kerana terlalu uzur. Tapak rumah guru itu didirikan semula dua buah rumah guru iaitu sebuah untuk Guru Besar dan sebuah lagi untuk Penolong Kanan.
Awal tahun 1993, sebuah bangunan batu tiga tingkat telah didirikan, yang terdiri dari 8 buah bilik darjah, 4 buah tandas, sebuah bilik setor, bilik Pusat Sumber, sebuah bilik makmal Sains dan sebuah bilik Kemahiran Hidup. Bangunan ini telah dignakan sesi persekolahan 1993/94.
Sebelum bangunan sekolah tiga tingkat ini didirikan, pembesaran kawasan padang telah dilaksanakan dalam tahun 1992. Dengan pertambahan bangunan dan bilik darjah tersebut, sekolah ini akan kekal sebagai sekolah satu sesi untuk beberapa tahun akan datang.